LUBOK ANTU: Pemimpin parti di peringkat akar umbi harus menjadi mata, suara dan telinga kerajaan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Katanya, langkah itu penting bagi memaklumkan sekiranya ada projek rakyat yang dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi sepatutnya.
“Projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) atau daripada Kerajaan Persekutuan mesti memenuhi spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) terutama dari segi bahan kualiti, kuantiti dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam selepas merasmikan Mesyuarat Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Balai Ringin dan Lubok Antu di sini.
Uggah yang juga Naib Yang di-Pertua Parti PBB berkata, semua ini dimaklumkan dalam Bil Kuantiti (BQ) kepada semua kontraktor. Jadi isu seperti ini sepatutnya tidak timbul.
"Amat menyedihkan apabila kita memperuntukkan dana, perkara seperti ini berlaku yang mana projek-projek ini memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) berkata, perkara sebegini sudah pasti akan menjadi titik perbalahan dan rasa tidak puas hati antara kontraktor dan kerajaan di kemudian hari.
Berhubung persidangan perwakilan tiga tahun sekali, beliau gembira mengetahui bahawa beberapa cawangan telah meluluskan resolusi masing-masing supaya jawatan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB tidak dipertandingkan pada persidangan Jun nanti.
Beliau berkata ini mencerminkan keyakinan penuh mereka terhadap pucuk pimpinan.
"Hal ini juga akan mengukuhkan lagi kekuatan dan perpaduan parti untuk membolehkan kita dapat mengatasi pelbagai cabaran pada masa akan datang," katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti